28 Ogos 2013
Oleh Amir Abd Hamid
Gombak: Kemusykilan seorang wanita apabila barang dapur termasuk beras di rumahnya sering hilang akhirnya terjawab apabila pembantu rumahnya, warga Sri Lanka yang baru sebulan bekerja di i Kampung Laksamana, Selayang, di sini menghilangkan diri bersama pelbagai barangan berharga milik majikannya yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000.
Mangsa, Jasminder Kaur, 24, berkata, dia menyedari kejadian jam 2.30 petang semalam (kelmarin) apabila pulang ke rumahnya selepas melawat ibu mentua bersama anak bongsunya.
Menurutnya, dia terkejut apabila melihat segala perhiasan di tempat sembahyang, malah tabung sembahyang serta tabung kedua-dua anaknya serta ibunya turut hilang.
“Wanita warga Sri Lanka itu saya ambil bekerja sebagai pembantu rumah melalui ejen di Johor Bharu mula bekerja di rumah pada 10 Julai lalu dan ia adalah pengalaman pertama mengambil pembantu rumah sepanjang lima tahun berkahwin.
“Suami tiada di rumah kerana menguruskan perniagaan di Pulau Pinang. Saya tinggal di rumah bersama dua anak serta ibu.
“Sejak pembantu rumah itu yang saya panggil Manju bekerja, tidak pernah sekali pun menganggapnya seperti orang luar. Tak sangka dia sanggup mencuri dan menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, dia musykil apabila barangan dapur termasuk beras dan lauk-pauk yang biasa dibelinya secara pukal sering hilang.
Antara barangan yang hilang ialah telefon bimbit Samsung Ace bernilai RM799, telefon bimbit Samsung S4 (RM2,199), rantai, hantaran mas kahwin dan lain-lain barang kemas (RM40,000), duit tabung sembahyang (RM3,000), duit tabung ibunya (RM2,000), emas kuil sembahyang (RM500) dan baju berharga milik suami mangsa.
“Apa yang menyedihkan ialah apabila kejadian dimaklumkan kepada ejen pembantu rumah berkenaan, saya pula dimarahi dan dituduh sengaja menyorokkan pembantu rumah itu.
“Ini adalah satu tuduhan yang serius,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Gombak, di sini, semalam.
Menurutnya, dia mengesyaki ejen berkenaan turut terbabit kerana ibu tirinya di Johor turut mengadu nasib sama sepertinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat.
myMetro
0 komentar:
Posting Komentar