Anwar Ibrahim PUNCA Mengapa BERSIH Gagal Dakwa Raja Petra

Selasa, 17 Desember 2013 0 komentar


BLOGGER terkenal, Raja Petra Kamarudin mendakwa Bersih telah gagal dalam membawa reformasi pilihan raya di Malaysia seperti mana yang diharapkan.

Beliau berkata, Bersih telah membuat kesilapan apabila turut menggunakan platform tersebut untuk menonjolkan Pakatan Rakyat dan mempromosikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

” Jika kita mahu melihat reformasi politik (dan reformasi pilihan raya), ia perlu berada di platform yang berlainan.

” Bersih sangat tercemar kerana ia kini dilihat sebagai gerakan Anwar Ibrahim. Anwar telah memusnahkan Bersih,” katanya dalam temubual dengan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Raja Petra yang juga Editor blog Malaysia Today berkata, Bersih sepatutnya kekal ‘non-partisan’ walaupun ia adalah politik.

Katanya, jika mahu melihat satu reformasi dalam pilihanraya di Malaysia, ia harus mendapat sokongan daripada kedua-dua belah pihak

” Dengan tiada sokongan dari orang-orang dalam kerajaan, maka kita tidak akan melihat reformasi pilihan raya di Malaysia,” katanya yang ditemubual dari United Kingdom.

Raja Petra dalam temubual itu turut melemparkan kata-kata sinis terhadap Anwar.

Beliau mendakwa, baru sekarang Anwar bercakap tentang pilihan raya yang tidak adil sedangkan dia sendiri adalah sebahagian daripada sebuah parti politik yang telah menikmati hasil dari sistem ini selama 16 tahun iaitu dari tahun 1982-1998 .

“Jika Anwar telah berjaya dalam usahanya untuk menjatuhkan Mahathir pada tahun 1997-1998, telah menjadi Perdana Menteri dan bukannya ditendang keluar dari UMNO , adakah anda fikir dia akan bercakap tentang pilihan raya yang tidak adil pada hari ini? ” sindir Raja Petra.

Apabila ditanya mengenai apa yang diperlukan untuk membawa perubahan di Malaysia , Raja Petra berkata, satu-satunya cara ialah kedua-dua pihak bersatu untuk bersama-sama melakukan perubahan yang dimahukan rakyat.

” Ini tidak berlaku lagi. Ia masih lagi dilihat sebagai pertembungan Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.

” Terdapat pelampau dari kedua-dua pihak – Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat.

” Kita perlu bina sebuah gerakan di mana ada penyokong Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat di dalamnya.

” Selagi itu tidak berlaku, lupakanlah impian untuk melihat perubahan, “katanya.

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 post 4 freedom